Matlamat Pembangunan Mampan (SDG)
5,798 lihat
Klik pautan di bawah untuk ke bahagian:
Pengenalan
Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) merupakan teras Agenda 2030 bagi pembangunan mampan yang dipersetujui oleh Ketua-ketua Negara pada 25 September 2015 di Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). SDG merupakan kesinambungan agenda pembangunan yang diteruskan selepas berakhirnya Millennium Development Goals (MDG) pada 2015. MDG mempunyai 8 matlamat dan 21 sasaran. Manakala SDG diperluaskan kepada 17 matlamat dan 169 sasaran untuk mencapai Agenda 2030 iaitu mencapai keseimbangan dalam tiga dimensi pembangunan mampan iaitu merangkumi sosial, ekonomi dan alam sekitar.
SDG adalah satu set 17 Matlamat dan 169 Sasaran yang merangkumi kemiskinan, kelaparan dan keselamatan makanan, kesihatan, pendidikan berkualiti, kesaksamaan jantina, air dan sanitasi bersih, pertumbuhan ekonomi dan bandar, penggunaan dan pengeluaran yang bertanggungjawab, perubahan iklim dan kepelbagaian biologi. Semua negara yang terlibat berikrar komitmen mereka untuk mencapai matlamat ini dari 2016-2030. Sebanyak 244 rangka kerja indikator global telah dicadangkan dan dipersetujui semasa 48th United Nations Statistical Commission (UNSC) conference pada Mac 2017. Rangka kerja ini telah diterima pakai oleh General Assembly pada 6 Julai 2017 dan terkandung dalam Resolusi yang diterima pakai oleh General Assembly on Work of the Statistical Commission berkaitan Agenda 2030 untuk Pembangunan Mampan (A/RES/71/313). Rangka kerja indikator akan diperhalusi setiap tahun dan disemak secara menyeluruh oleh Statistical Commission.
Inter-agency and Expert Group on SDG Indicators (IAEG-SDGs) telah diwujudkan oleh United Nations Statistical Commission pada Mac 2015. IAEG-SDG terdiri daripada Negara Anggota termasuk agensi serantau dan antarabangsa sebagai pemerhati dan telah ditugaskan untuk membangunkan dan melaksanakan rangka kerja indikator global untuk Matlamat dan sasaran Agenda 2030.
Untuk maklumat lanjut sila layari https://unstats.un.org/sdgs/iaeg-sdgs/.
Untuk maklumat lanjut mengenai Metadata SDG sila layari https://unstats.un.org/sdgs/metadata/.
Penglibatan Malaysia dalam SDG
Penglibatan Malaysia dalam pembangunan SDG di peringkat antarabangsa bermula pada akhir 2014; dengan penglibatan Unit Perancang Ekonomi (EPU) dalam proses rundingan antara anggota negara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Mesyuarat Antara Kerajaan) yang diadakan dari Januari hingga Julai 2015 bagi memuktamadkan Agenda Pembangunan Pasca 2015 (P2015DA). Perbincangan antara ahli negara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu termasuk pengisytiharan P2015DA, Matlamat dan Sasaran Pembangunan Mampan, Means of Implementioan serta susulan & semakan.
Peranan dan sumbangan DOSM dalam SDG
Pada Julai 2015, DOSM telah dilantik secara rasmi sebagai pusat tumpuan untuk menyelaraskan pengumpulan data SDG semasa Jawatankuasa Pengguna Utama Bil.1/2015. Peranan utama focal point adalah untuk menyelaraskan kompilasi penunjuk SDG daripada pelbagai kementerian/agensi barisan.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah menerbitkan laporan awalan penilaian indikator SDG iaitu The Initial Assessment of the SDG Indicators for Malaysia, 2018 yang merangkumi penilaian awal mengenai ketersediaan data untuk 244 indikator SDG di Malaysia. Laporan pertama Indikator SDG Malaysia, Indikator SDG, Malaysia, 2018 telah diterbitkan pada tahun 2019 yang terdiri daripada 99 indikator. Laporan kedua ‘Indikator SDG, Malaysia, 2019’ telah diterbitkan pada Disember 2020 yang terdiri daripada 128 indikator. Laporan ketiga Indikator SDG, Malaysia, 2020 telah diterbitkan pada Disember 2021 yang terdiri daripada 146 indikator. Laporan keempat dan kelima telah diterbitkan masing-masing pada Disember 2022 dengan 175 indikator tersedia dan Disember 2023 dengan 195 indikator tersedia. Laporan keenam, Indikator SDG, Malaysia, 2023 telah diterbitkan pada 5 Disember 2024 yang mengandungi 196 indikator termasuk 82 indikator peringkat negeri dan 26 indikator di peringkat daerah yang menyediakan input bagi penilaian pencapaian SDG di Malaysia pada tahun 2023. Kemajuan ini disokong sepenuhnya oleh kerjasama dan penyelarasan daripada agensi dan Kementerian.
Laporan Indikator SDG, 2023 merupakan siri kedua penerbitan yang merangkumi 21 laporan iaitu lima (5) laporan di peringkat nasional dan 16 laporan mengikut negeri. Lima (5) Laporan Indikator SDG, Malaysia adalah Ringkasan Eksekutif dan empat (4) pelaporan mengikut tema lima (5) bidang tumpuan SDG iaitu Kemajuan Masyarakat (Matlamat 1, 2, 3, 4 dan 5), Kemakmuran (Matlamat 7, 8, 9, 10, dan 11), Penjagaan Bumi (Matlamat 6, 12, 13, 14 dan 15), Keamanan (Matlamat 16) dan Kerjasama (Matlamat 17). Indikator di peringkat negeri dan daerah yang diterbitkan dapat digunakan oleh pihak kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan dalam memantau dan menyusun kerangka pelaksanaan SDG di peringkat negeri dan daerah masing-masing.
Status
ketersediaan indikator SDG Malaysia telah menunjukkan perkembangan positif
dengan peningkatan 99 indikator (41%) pada 2018 kepada 195 indikator (79%) pada
2022. Ketersediaan indikator telah bertambah baik kepada 196 iaitu 79 peratus
daripada indikator global dengan peningkatan 1 indikator di peringkat nasional
pada 2023 berbanding 2022. Di peringkat negeri, ketersediaan indikator adalah
82 indikator pada 2023 berbanding 80 indikator tahun sebelumnya. Manakala,
peringkat daerah merekodkan 26 ketersediaan indikator pada 2023 berbanding 23 indikator tahun 2022. Pencapaian dalam ketersediaan indikator SDG menunjukkan
komitmen Malaysia untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan.
DOSM menggunakan pelbagai mekanisme untuk
meningkatkan ketersediaan SDG indikator iaitu Banci Penduduk dan Perumahan
2020, instrumen survei baharu - Survei Indikator Isi Rumah Nasional (NHIS),
Banci Ekonomi 2023 dan Banci Pertanian 2024 serta kerjasama dan komitmen agensi
ke arah menyediakan indikator tambahan. Justeru, usaha ini menyumbang kepada
peningkatan dalam bilangan indikator yang tersedia.
Bagi tujuan penyebaran dan perkongsian data yang
berkaitan dengan SDG, DOSM telah melancarkan National SDG Monitoring
System (SDG Dashboard) pada bulan Mac 2019.
Semua Laporan
Indikator Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) boleh dimuat turun melalui
·
estatistik
(https://newss.statistics.gov.my/newss-portalx/ep/epLogin.seam) atau
·
penerbitan
(https://www.dosm.gov.my/portal-main/publication).
Penglibatan DOSM di peringkat antarabangsa
Pada September 2015, DOSM telah dilantik sebagai ahli mesyuarat High Level Groups on Sustainable Development Goals (HLG-SDGs) bagi mewakili Malaysia dan negara-negara di rantau Asia Pasifik bagi tempoh 2016 hingga 2017. HLG-SDGs dianggotai oleh 22 negara dan diwujudkan bertujuan untuk menentukan hala tuju strategik dalam pembangunan SDG.
DOSM telah dilantik sebagai anggota Inter-Agency and Expert Group on SDG indicators (IAEG SDG) sejak Julai 2019 hingga Julai 2021 dan telah menyumbang kepada kajian semula ‘2020 Comprehensive Review Proposal’ serta terlibat secara berkala dalam pembangunan metodologi dan isu-isu yang berkaitan indikator dan metadata. Keahlian DOSM sebagai ahli IAEG-SDG telah dilanjutkan sehingga Jun 2023.
DOSM juga secara sukarela telah menjadi ahli bagi Working Group on Geospatial Information (WGGI) for IAEG-SDG dan terlibat dalam perbincangan yang berkaitan dengan pembangunan indikator menggunakan kaedah geospatial dan ahli bagi sub working group for metadata yang membincangkan hal-hal berkaitan metadata SDG.
Malaysia juga merupakan ahli Working Group Sustainable Development Goals Indicators (WGSDGI) di peringkat Asean dan telah terlibat dalam penyediaan penerbitan Asean SDG Baseline Report 2020 yang telah dilancarkan pada Oktober 2020 dan terus menyumbang kepada kerja-kerja pembangunan Indikator SDG Asean.
















